Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

NAIB CANSELOR TITIP PESAN UNTUK PENSYARAH MUDA FAHAMI, HAYATI DAN KOMITED PERANAN SEBAGAI STAF AKADEMIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 September 2025 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini menyantuni pensyarah-pensyarah muda menerusi Siri Perjumpaan Bersama Staf Akademik Kampus Kesihatan yang diadakan di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan.

1000176487

1000176489

Program ini menjadi platform komunikasi dua hala antara Naib Canselor dan barisan pensyarah muda daripada tiga (3) pusat tanggungjawab (PTJ) akademik di Kampus Kesihatan iaitu Pusat Pengajian (PP) Sains Perubatan, PP Sains Kesihatan dan PP Sains Pergigian.

1000176493

1000176495

Penganjuran program ini bertujuan menyediakan ruang interaksi secara langsung antara kepimpinan tertinggi universiti dengan pensyarah muda bagi mendengar pandangan, mengenal pasti isu semasa, memberi pencerahan mengenai hala tuju akademik serta memperkukuhkan bimbingan kerjaya dalam kalangan warga akademik muda.

1000176491

1000176497

Dalam sesi tersebut, Naib Canselor menekankan beberapa isu penting termasuk kepentingan menetapkan fokus dalam bidang kepakaran, proses pengesahan jawatan dan isu berkaitan geran penyelidikan.

1000176500

1000176506

Beliau turut menggariskan lima (5) aspek penting yang perlu diutamakan oleh ahli akademik iaitu pengajaran, penyelidikan, perundingan, khidmat kepada komuniti dan khidmat kepada universiti.

1000176509

Naib Canselor turut menggesa para pensyarah muda agar sentiasa peka terhadap cabaran semasa dan proaktif dalam mengemudi perjalanan akademik masing-masing, di samping terus menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

1000176512

Selain itu, turut diadakan sesi soal jawab antara pensyarah muda dengan Naib Canselor, yang membuka ruang kepada peserta untuk melontarkan persoalan serta berkongsi pandangan secara langsung berkaitan kerjaya dan perkembangan akademik.

Perjumpaan ini mencerminkan komitmen USM dalam memastikan pensyarah muda mendapat sokongan dan bimbingan sewajarnya, sekali gus memperkukuh jaringan komunikasi antara kepimpinan universiti dan warga akademik muda.

1000176503

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Pemilih, Pengesahan, Kenaikan Pangkat dan Lanjutan Perkhidmatan bagi Staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional Akademik, Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajudin, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad serta pegawai-pegawai pentadbiran sumber manusia daripada Jabatan Pendaftar dan ketiga-tiga pusat pengajian di Kampus Kesihatan.

Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & Unit Foto UKAST

  • Created on .
  • Hits: 231