NESCAFE 'ON CALL' SANTUNI WARGA HPUSM SELAMA 30 JAM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Ogos 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperluas jaringan kerjasama dengan sektor korporat apabila menerima inisiatif NESCAFE 'On Call' Bersama HPUSM sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi warga hospital dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat.

Menariknya, program tersebut dilaksanakan selama 30 jam, bermula jam 7.00 pagi hari ini hingga 11 Ogos 2026, melibatkan beberapa lokasi strategik di sekitar HPUSM.

Menerusi program berkenaan, NESCAFE mengagihkan minuman secara percuma kepada warga HPUSM sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral kepada petugas yang menjalankan tugas di pelbagai jabatan dan unit.

Inisiatif tersebut turut membawa mesej penghargaan kepada petugas kesihatan yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira waktu dan keadaan.

Selain menjadi tanda penghargaan, kolaborasi berkenaan mencerminkan peranan sektor korporat dalam menyokong kesejahteraan petugas kesihatan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial yang dekat dengan warga kerja.

Kerjasama seumpama ini juga membuka ruang kepada hubungan yang lebih bermakna antara institusi kesihatan dan sektor korporat, khususnya dalam menyokong kebajikan, motivasi dan kesejahteraan warga hospital.


HPUSM merakamkan penghargaan kepada NESCAFE atas kesudian memilih HPUSM sebagai rakan kolaborasi menerusi pelaksanaan program tersebut dan berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi menyokong warga kesihatan yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan berkualiti, prihatin dan penuh dedikasi kepada pesakit serta masyarakat.

Hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengarah (Klinikal), HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan ‘Consumer Marketing Manager (Coffee)’ NESCAFE, Khoo Sui Ying.
Teks: Dr. Ahmad Nazrul Alif Yahya/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 298