PASIR TUMBOH, KELANTAN, 22 Julai 2022 - Pasukan petugas program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) Hospital USM terus aktif turun padang menyantuni komuniti dengan menyediakan pelbagai pemeriksaaan saringan kesihatan seperti ujian gula dalam darah, tekanan darah, pameran promosi kesihatan berkaitan penyakit kencing manis, konsultasi perubatan serta konsultasi diet dan pemakanan sihat yang diadakan di dataran Masjid At-Taqwa, Bandar Satelit Islam, di sini, hari ini.


Program yang mendapat kerjasama Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan ini mensasarkan komuniti di kawasan Pasir Tumboh dan sekitarnya telah berjaya menarik lebih 100 pengunjung di mana lapan (8) orang pesakit yang memerlukan rawatan lanjut dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan.

Sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Kelantan yang berlangsung bermula 22 hingga 24 Julai 2022, program 'Outreach Health Screening' Keluarga Malaysia KPT - Hospital USM ini turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pengurusan Penyampaian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Normalia Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Tata Kelola, Bahagian Governan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri, Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria dan Ketua Jabatan Patologi Kimia, Dr Aniza Mohammed Jelani.