Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PAKAR USM BAWA AGENDA ‘BRAIN ECONOMY’ KE UNGA 81

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2026 – Pakar Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah mewakili Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam program Brain Days at the 81st United Nations General Assembly (UNGA 81) yang berlangsung pada 23 hingga 24 September 2026 di New York, Amerika Syarikat.

Penyertaan beliau adalah dalam kapasiti sebagai ‘Council Member’ dan ‘Advisor to Special Interest Group on Brain Economy for Malaysia’ ASM, yang memberi tumpuan kepada agenda kesihatan otak, ekonomi berasaskan modal insan dan pembangunan manusia.

Platform antarabangsa berkenaan menghimpunkan pakar, pembuat dasar, pemimpin akademik dan wakil pelbagai organisasi antarabangsa bagi membincangkan kepentingan otak sebagai aset strategik dalam pembangunan negara menerusi tema “Towards a UN Resolution for the Brain”.

Dalam program tersebut, Profesor Dato’ Dr. Jafri turut terlibat sebagai ahli panel dalam sesi ‘The New Wealth of Nations: Brain Economy Leadership in Action’ yang membincangkan konsep ‘brain economy’ serta kepentingan pelaburan dalam pembangunan kemahiran kognitif, kesejahteraan mental dan potensi manusia sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta kemajuan sosial.

Sesi berkenaan turut menghimpunkan tokoh antarabangsa daripada pelbagai bidang termasuk neurologi, kesihatan awam, dasar strategik, penyelidikan dan inovasi.

Selain itu, beliau turut menyertai sesi ‘Financing the Brain-Healthy Transition: Investing in Human Capital for Sustainable Growth’ yang memberi tumpuan kepada pembiayaan dan pelaburan dalam pembangunan modal insan bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan mampan.

Penglibatan Profesor Dato’ Dr. Jafri dalam platform tersebut mencerminkan penyertaan kepakaran USM dalam perbincangan antarabangsa berkaitan kesihatan otak, ‘brain economy’ dan pembangunan modal insan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel /Foto: Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 287