PASUKAN SYARIAH KEJURURAWATAN INISIATIF TERKINI KEKALKAN PRINSIP HOSPITAL MESRA IBADAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Julai 2025 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi perintis dalam memperkenalkan konsep Hospital Mesra Ibadah sejak tahun 2004 dan terus menjadi rujukan utama bagi hospital lain di Malaysia dan juga luar negara dalam pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang patuh syariah.
Menyedari keperluan semasa dan cabaran dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang benar-benar menepati prinsip Islam, Jabatan Kejururawatan telah mengambil langkah proaktif menubuhkan Pasukan Syariah Jabatan Kejururawatan dan mengadakan Bengkel Patuh Syariah Siri 1 pada 30 Jun lalu.
Bengkel yang mendapat kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan itu diadakan bertujuan memperkukuh kefahaman, meningkatkan kemahiran dan memastikan pelaksanaan prinsip-prinsip syariah 5 SCCP (Syariah Critical Control Point) iaitu prinsip muamalat, aurat, ibadah, halal, haram serta mahram secara menyeluruh dalam amalan kejururawatan.
Bengkel ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dan memberi pendedahan kepada staf tentang kepentingan aspek ibadah dalam perawatan pesakit muslim selain menyokong transformasi budaya kerja ke arah penjagaan pesakit yang lebih holistik dan berlandaskan nilai-nilai Islam.
Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd. Sattar @Ismail
Sumber Laporan dan Foto: Norwahidah Wahi
- Created on .
- Hits: 82