PELAJAR AUDIOLOGI USM TONJOL PROJEK SULAM DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA UniSZA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 November 2025 - Enam (6) pelajar tahun akhir Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Pameran Projek ‘Service Learning Malaysia - University for Society’ (SULAM) sempena ‘3rd International Conference on SULAM 2025: Shaping Futures with Service-Learning’ yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 25 November lalu.

Penyertaan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mempamerkan aktiviti SULAM yang pernah dijalankan serta memperkenalkan bidang audiologi kepada peserta dari pelbagai universiti awam seluruh Malaysia.

Penyertaan ini juga dilihat sebagai satu platform penting dalam memperkukuhkan hubungan akademia selain berfungsi sebagai medium membentuk jaringan kerjasama antara universiti terutamanya melibatkan aktiviti kemasyarakatan bersama pelajar.

Sepanjang pameran berlangsung, para pelajar mempamerkan maklumat mengenai penjagaan kesihatan pendengaran serta menjalankan demonstrasi saringan pendengaran automatik, memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami secara langsung cara ujian pendengaran dilaksanakan.


Penyertaan ini diharap dapat terus memupuk minat pelajar dalam melaksanakan projek berasaskan komuniti serta merancakkan lagi jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Mohd Fadzil Nor Rashid
- Created on .
- Hits: 163