PELAJAR DrPH USM DALAMI AMALAN KESIHATAN PEKERJAAN DALAM SEKTOR PENERBANGAN DAN KETENTERA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2026 – Pendedahan kepada amalan perubatan penerbangan, perubatan hiperbarik dan rehabilitasi membantu pelajar program Doktor Kesihatan Awam (DrPH),Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) memahami kepentingan kesihatan pekerjaan dalam melindungi kesihatan serta memastikan kesiapsiagaan anggota yang bertugas dalam persekitaran berisiko tinggi.

Pendedahan tersebut diperoleh menerusi lawatan akademik pelajar DrPH Tahun 2, Jabatan Perubatan Masyarakat, ke Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Subang Jaya dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) pada 8 dan 9 Oktober lalu.

Delegasi yang diketuai oleh Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman itu berpeluang mengikuti sesi penerangan dan demonstrasi peralatan perubatan penerbangan di IPP, termasuk ‘Spatial Disorientation Trainer’, ‘Decompression Chamber’ dan ‘Ejection Seat’.

Sesi tersebut membolehkan pelajar memahami kesan faktor fisiologi dan persekitaran penerbangan terhadap tubuh manusia serta kepentingan penilaian kesihatan dan latihan khusus bagi mengurangkan risiko berkaitan penerbangan.

Lawatan ke HATTM pula merangkumi Unit Rehabilitasi, Unit Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik serta Unit Perubatan Tentera. Pelajar berpeluang mendalami peranan setiap unit dalam pengurusan kecederaan, pemulihan fungsi fizikal dan penyediaan perkhidmatan perubatan khusus bagi menyokong kesihatan serta kesiapsiagaan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi peluang kepada pelajar menghubungkan pengetahuan teori dengan amalan sebenar, khususnya dalam aspek pencegahan penyakit, penilaian risiko kesihatan dan pengurusan kesihatan pekerjaan dalam sektor penerbangan serta ketenteraan.


USM merakamkan penghargaan kepada pihak IPP dan HATTM atas kesudian menerima kunjungan delegasi serta berkongsi ilmu dan pengalaman yang bermanfaat dalam menyokong pembangunan kompetensi pelajar DrPH.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Afiq Izzudin A. Rahim
- Created on .
- Hits: 96