Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PELAJAR DrPH USM DIDEDAHKAN KEPADA DUNIA HIPERBARIK DAN AEROFISIOLOGI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2025 – Bukan sekadar dapat merasai sendiri pengalaman masuk ke ruang bertekanan tinggi atau memahami cabaran fizikal seorang juruterbang dan penyelam, malah 21 pelajar Doktor Kesihatan Awam (DrPH), Universiti Sains Malaysia (USM) turut berpeluang menimba ilmu dengan lebih dekat ketika mengadakan lawatan sambil belajar ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Institut Perubatan Penerbangan (IPP) dan Healing Chambers of Asia (HCA) pada 21 Ogos lalu.

1000172166

Lawatan terbabit memberi pendedahan langsung kepada dunia hiperbarik dan aerofisiologi yang merupakan bidang penting dalam kesihatan penerbangan dan perubatan tentera.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh kefahaman pelajar mengenai aspek kesihatan pekerjaan, selain mendedahkan mereka kepada aplikasi sebenar perubatan hiperbarik dan faktor manusia dalam penerbangan.

1000172160

Di HATTM, peserta diperkenalkan kepada 'Hyperbaric Oxygen Therapy' (HBOT) yang merupakan rawatan utama untuk ‘Decompression Sickness’ (DCS) dan terapi tambahan bagi luka kronik, keracunan karbon monoksida serta kecederaan radiasi selain turut berpeluang merasai pengalaman berada dalam kebuk hiperbarik pada kedalaman simulasi 10 meter laut.

Lawatan ke IPP pula, para peserta diberi pendedahan tentang latihan aerofisiologi untuk krew udara. Antara aspek penting yang diterangkan termasuk 'High G Training' menggunakan 'High Performance Human Centrifuge' (HPHC), iaitu simulator khas bagi melatih juruterbang tempur mengatasi kesan daya G yang tinggi.

1000172162

Manakala lawatan di Healing Chambers of Asia (HCA), para peserta diberi taklimat mengenai servis rawatan oksigen hiperbarik untuk orang awam, sokongan teknikal dan penyelenggaraan kebuk hiperbarik serta program latihan profesional.

Lawatan ini memberikan pendedahan praktikal dan pengalaman unik kepada pelajar DrPH dalam bidang kesihatan pekerjaan, perubatan pertahanan dan teknologi hiperbarik. Ia bukan sahaja memperkukuh pembelajaran akademik, tetapi juga membuka peluang kolaborasi antara universiti, agensi pertahanan dan sektor industri.

1000172164

Program sebegini diyakini dapat melahirkan graduan DrPH yang lebih bersedia menghadapi cabaran dalam bidang kesihatan pekerjaan dan perubatan khusus, sejajar dengan aspirasi USM melahirkan pakar kesihatan awam yang kompeten dan berwawasan.

Sumber Laporan & Foto: Program Doktor Kesihatan Awam (DrPH), Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM

  • Created on .
  • Hits: 189