PELAJAR PERUBATAN USM SERTAI FESTIVAL IDEA 2025 PERINGKAT NEGERI KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, 16 Oktober 2025 - Seramai 40 pelajar tahun dua (2) Program Doktor Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Majlis Penutupan Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI@Kelantan) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada 14 Oktober lalu.

Penganjuran FOI adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memasyarakatkan sains, memanusiakan teknologi dan memanfaatkan inovasi, sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dalam merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Penglibatan pelajar USM dalam FOI@Kelantan memberi pendedahan secara langsung kepada inovasi dalam bidang perubatan, keusahawanan teknologi serta pemerkasaan kemahiran insaniah dan pemikiran kritikal.

Penutupan FOI@Kelantan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang yang turut berperanan sebagai pembicara utama dalam sesi MOSTI ‘Tech Talk’s Siri Ke-6: ‘Tech Start-Up’. Sesi tersebut membuka ruang perbincangan strategik mengenai ekosistem syarikat pemula teknologi serta peranan inovasi dalam memacu ekonomi negara berasaskan pengetahuan.


USM turut merakamkan sokongan penuh kepada UMK sebagai tuan rumah FOI@Kelantan 2025 atas inisiatif memperkukuh jaringan akademik dan inovasi serantau.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Norsuhana Omar
- Created on .
- Hits: 244