PELAJAR PPSG USM RANGKUL JOHAN SULAM INNOVATE 2025
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 November 2025 – Projek tahun akhir pelajar Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk Modul Penjagaan Gigi Si Cilik: Misi Senyuman Menawan berjaya menawan hati juri apabila dinobatkan sebagai johan kategori Sains dan Teknologi dalam pertandingan ‘Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) Innovate' kali ke-3 yang diadakan sempena ‘3rd International Conference on SULAM 2025: Shaping Futures with Service-Learning’ yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 25 November lalu.


Projek ini dibentangkan oleh Muhammad Aqil Haikal Ab Halim Fauzi dan Pang Wen Min pada sesi ‘pitching’ finalis yang menampilkan projek-projek SULAM bagi sesi akademik 2024/2025. Pasukan PPSG membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, di bawah seliaan Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang dan Dr. Noor Huda Ismail.


Keunikan projek ini terletak pada komitmen tinggi 16 orang pelajar yang membangunkan modul pendidikan kesihatan pergigian khusus untuk murid sekolah rendah di kawasan luar bandar. Mereka memilih Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai, Gua Musang, Kelantan sebagai lokasi pelaksanaan. Modul ini menggabungkan pendekatan kreatif melalui penceritaan interaktif berasaskan buku informatif kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul Kacip, Geraham dan Taring. Penyampaian ilmu diperkukuh dengan aktiviti berasaskan permainan dan latihan praktikal, sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan, mudah difahami serta menarik minat kanak-kanak.

Projek ini turut menerima dana daripada Program SULAM serta Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-3 iaitu memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua peringkat umur, termasuk komuniti yang terpinggir.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang dan Dr. Noor Huda Ismail
- Created on .
- Hits: 201