Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PEMBEDAHAN LCBDE PERTAMA DI PANTAI TIMUR BUKTI KEPAKARAN HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Mei 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan kepakaran apabila berjaya melaksanakan pembedahan ‘Laparoscopic Common Bile Duct Exploration’ (LCBDE/CBDE) yang pertama di HPUSM dan juga di Pantai Timur Malaysia.

1000258540

1000258536

Pembedahan yang dilaksanakan oleh pasukan pakar bedah dari Unit Hepato-Pancreato-Biliary (HPB), Jabatan Surgeri ini merupakan langkah strategik untuk memperluas rawatan minimal invasif (laparoskopik) bagi pesakit batu salur hempedu yang kompleks, termasuk kes melibatkan batu bersaiz besar dalam salur hempedu utama. Inisiatif ini menandakan lonjakan ke hadapan dalam penyampaian rawatan berteknologi tinggi yang lebih selamat dan berkesan.

1000258542

Berbanding kaedah pembedahan terbuka (open surgery), teknik LCBDE menawarkan pelbagai manfaat klinikal kepada pesakit, antaranya luka pembedahan yang lebih kecil, kesakitan pasca pembedahan yang minimum, kehilangan darah yang rendah, risiko jangkitan lebih rendah, tempoh kemasukan hospital yang singkat serta pemulihan lebih cepat dan hasil kosmetik yang lebih baik.

1000258538

Bagi kes batu besar salur hempedu, kaedah LCBDE juga berfungsi sebagai alternatif penting berbanding prosedur seperti ‘SpyGlass lithotripsy’, khususnya apabila batu sukar dihancurkan atau memerlukan beberapa sesi rawatan. Melalui LCBDE, batu dapat dikeluarkan secara langsung dalam satu prosedur minimal invasif tanpa memerlukan pembedahan terbuka.

Pencapaian ini selari dengan aspirasi HPUSM ke arah merealisasikan visi sebagai sebuah ‘Medical City’ dengan menawarkan perkhidmatan kepakaran bertaraf tinggi serta teknologi pembedahan moden demi memberikan rawatan terbaik kepada rakyat Malaysia, khususnya di Pantai Timur.

1000258544

Selain LCBDE, Unit HPB turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pembedahan minimal invasif lain, termasuk pembedahan hati laparoskopik (Laparoscopic Liver Resection) bagi ketumbuhan hati, rawatan penyakit pankreas dan salur hempedu serta pembedahan kompleks HPB secara laparoskopik.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkasa inovasi klinikal, kecemerlangan kepakaran dan kualiti penjagaan pesakit.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Mohd Azem Fathi Mohammad Azmi

  • Created on .
  • Hits: 323