PEMBELAJARAN DI LOKASI PENDEDAHAN HUBUNGAN AKADEMIK DENGAN REALITI INDUSTRI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Jun 2025 – Seramai enam (6) pelajar tahun pertama program Doktor Kesihatan Awam (DrPH) dengan pengkhususan dalam bidang Kesihatan Alam Sekitar dan Pekerjaan telah menyertai satu lawatan akademik ke fasiliti pengurusan sisa bersepadu milik Cenviro di Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan langsung kepada peserta mengenai pelaksanaan sebenar pengurusan buangan terjadual yang merupakan satu komponen penting dalam perlindungan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Melalui lawatan ini, para pelajar berpeluang menyaksikan secara dekat bagaimana prinsip-prinsip teori yang dipelajari dalam kuliah diaplikasikan dalam operasi harian di fasiliti Cenviro. Dengan pendedahan kepada teknologi moden, amalan keselamatan tinggi serta pendekatan lestari dalam pemulihan dan pelupusan buangan, lawatan ini menjadi jambatan penting yang menghubungkan ilmu akademik dengan realiti industri.
Cenviro sebagai syarikat pelaburan Khazanah Nasional Berhad, memainkan peranan penting dalam pengurusan sisa yang lestari di Malaysia. Menerusi pendekatan bersepadu yang melibatkan buangan terjadual, sisa pepejal serta teknologi kitar semula dan pemulihan, Cenviro menyumbang secara langsung kepada matlamat ekonomi kitaran negara.
Dalam lawatan ini, para peserta diberi taklimat awal yang menekankan kepentingan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, yang memastikan semua proses dijalankan mengikut standard keselamatan dan alam sekitar tertinggi.
Para peserta juga berpeluang melawat Pusat Pengurusan Sisa Bersepadu yang dikendalikan oleh Kualiti Alam Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Cenviro yang turut memberikan pendedahan secara langsung terhadap pelaksanaan sistem pelupusan buangan terjadual, termasuk teknologi Tapak Pelupusan Terjamin Menegak (VSL) dan sistem pemantauan air bawah tanah selain berpeluang menyaksikan bagaimana aspek kejuruteraan dan keselamatan digabungkan untuk memastikan pengurusan sisa dijalankan secara selamat dan lestari sesuai dengan prinsip perlindungan kesihatan awam dan alam sekitar.
Kemuncak lawatan ini, para peserta dapat melihat proses yang dilakukan di Loji Buangan ke Tenaga (WtE) iaitu proses pembakaran buangan organik dalam relau putar suhu tinggi. Haba yang dihasilkan digunakan untuk menjana stim dan elektrik, sekali gus menunjukkan bagaimana bahan buangan berbahaya dapat dimanfaatkan sebagai sumber tenaga bersih.
Sepanjang sesi lawatan ini, para pelajar diiringi oleh Pensyarah dari Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Filza Ismail dan Pensyarah Program Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM, Dr. Faridah Naim.
Sumber Laporan & Foto: Calon DrPH Tahun 1 (Environmental and Occupational Health) JPM, PPSP USM
- Created on .
- Hits: 116