PEMERIKSAAN MULUT WARGA EMAS INISIATIF USM ATASI MASALAH KESIHATAN MULUT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Disember 2024 - Masalah kesihatan pergigian dalam kalangan warga emas adalah isu yang memerlukan perhatian berterusan dan tidak boleh dipandang ringan. Isu ini semakin mendapat perhatian memandangkan ia memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup golongan tersebut.
Selaras dengan matlamat kerajaan yang menekankan kesejahteraan warga emas, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) mengambil langkah proaktif mengatasi cabaran ini dengan melaksanakan Program Senyuman Abadi: Penjagaan Kesihatan Mulut untuk Warga Emas pada 15 November lalu.
Seramai 92 penghuni Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin, Pengkalan Chepa menjalani saringan kesihatan mulut yang dijalankan dan 34 daripada mereka memerlukan rawatan pergigian yang pelbagai termasuk cabutan dan tampalan gigi. Selain itu, 31 penghuni juga telah dikenal pasti memerlukan rawatan gigi palsu.
Rawatan ini amat penting untuk memperbaiki penampilan warga emas selain memberi impak besar kepada keselesaan dan kebolehan mereka untuk makan serta berkomunikasi dengan baik. Penyediaan gigi palsu juga dipercayai dapat meningkatkan kualiti hidup serta membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.
Program yang mendapat sokongan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM ini dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan (MediCOM) Malaysia bertujuan memberi perhatian kepada kesihatan pergigian warga emas selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan mulut.
Sumber Laporan: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang & Dr. Noor Huda Ismail
- Created on .
- Hits: 206