PENCEGAHAN AWAL KANSER MAMPU ELAK KOS TINGGI RAWATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2023 – Bagi menyampaikan ilmu pendidikan berstruktur berkenaan kanser dalam kalangan wanita serta manfaat melakukan pengesanan awal, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital USM telah melaksanakan Program Pengesanan Awal dan Pendidikan Pencegahan Kanser dalam Kalangan Wanita pada 19 Ogos lalu.

Program yang mendapat suntikan dana melalui Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Madani ini diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum, Bachok mensasarkan golongan B40 atau kurang bernasib baik yang tidak mampu untuk menampung kos rawatan yang tinggi.

Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kadar pematuhan terhadap saringan awal kanser melalui ujian saringan ‘pap smear’ selain turut membetulkan persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat berkenaan kanser dan pantang larang.

Pelbagai aktiviti diisi sepanjang program berlangsung antaranya ceramah kesihatan, saringan asas kesihatan, pameran berkaitan kanser, kuiz dan konsultasi perubatan.


Turut hadir ialah Penyelaras Jaringan Industri dan Masyarakat, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; Guru Besar SK Chantum, Suhaila Mustapha; Ketua Jabatan, Jabatan Patologi PPSP USM, Dr. Faezahtul Arbaeyah Hussain dan Pengarah Program Pengesanan Awal dan Pendidikan Pencegahan Kanser dalam Kalangan Wanita, Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin.
Sumber Laporan & Foto : Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin
- Created on .
- Hits: 285