PENCEGAHAN ILI: PROGRAM KRIS USM SEBAR MAKLUMAT DI PELBAGAI PERINGKAT KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 September 2022 – Bagi memperkasakan komuniti sekolah rendah dalam aspek pencegahan jangkitan kuman penyebab penyakit berkaitan pernafasan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) turun padang memberi pendedahan kepada guru-guru dan pelajar sebagai usaha meningkatkan kesedaran kesihatan terutamanya mengenai pencegahan jangkitan ‘influenza-like illness’ (ILI).

Program yang berlangsung pada 12 September lalu di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Farabi, Kok Lanas dan pada 14 September di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Madinatul Ilmi, Kubang Kerian, itu antara lain bertujuan untuk memastikan murid-murid sekolah rendah mematuhi tatacara bagi mencegah penularan ILI, memberi pendedahan kepada guru-guru berkenaan kaedah pencegahan dan pengurusan kes ILI di sekolah, mencegah penularan ILI di sekolah seterusnya mencegah kluster pendidikan dan mendidik para pelajar tentang cara-cara mencuci tangan (hand washing) dengan betul.


Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imunologi, PPSP, USM, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Hospital USM, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dan Jabatan SRITI Negeri Kelantan dilaksanakan dengan pelbagai pengisian antaranya memperkenalkan modul ‘Influenza-like Illness Management’ (ILIM) kepada guru-guru dan pelajar berkenaan kaedah pemantauan serta pengamalan pencucian tangan yang betul. Selain pencegahan, modul ini juga memberi panduan kepada guru-guru terhadap pengurusan ILI sekiranya berlaku wabak di sekolah.
Sumber Laporan & Foto: Dr Tuan Noorkorina Tuan Kub
- Created on .
- Hits: 197