PENDEKATAN BERSEPADU USM TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN LUAR BANDAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Ogos 2025 - Pendekatan bersepadu dalam menjaga kesihatan masyarakat terus diberi keutamaan menerusi penganjuran Program Komuniti: Santuni Masyarakat oleh Jabatan Kejururawatan dan Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Masjid As-Syafie, Mukim Jelawang, Dabong, pada 9 Ogos lalu.

Program itu merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan institusi kesihatan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pendidikan kesihatan.

Fokus utama program ini adalah mengenal pasti masalah kesihatan lazim dalam kalangan masyarakat setempat seperti diabetes, penyakit jantung dan isu kesihatan lelaki di samping memberi pendidikan kesihatan berterusan agar masyarakat lebih cakna terhadap tahap kesihatan diri.

Program ini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, malah membawa mesej kemanusiaan bahawa setiap insan perlu dihargai, disantuni dan diberikan tempat sewajarnya dalam komuniti.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk ceramah kesihatan, derma darah, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan sesi pendidikan komuniti.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad; Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Nur Izat Muhammad; Pakar Perubatan HPUSM, Dr. Muhamad Faiz Mahayidin dan Ahli Jawatankuasa Masjid As-Syafie, Nawan Mat Nor.
Sumber Laporan & Foto: Mohd Syarifuddin Hamat
- Created on .
- Hits: 183