Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) terima persijilan MS1900:2014 Pengurusan Kualiti Berasaskan Shariah daripada SIRIM Berhad.
Persijilan bagi tahun 2020 ini disampaikan pada Majlis SIRIM Industri 2022 oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad, FASc.

Hadir menerima sijil bagi pihak Hospital USM ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur & Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud yang diiringi Penyelaras Sistem Pengurusan Hospital, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar.

Majlis SIRIM Industri sebelum ini diadakan secara tahunan, walaubagaimanapun ditangguhkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan kembali diadakan semula pada tahun ini.
Persijilan MS1900:2014 dijangka mampu melonjak keyakinan orang ramai, khususnya pesakit serta waris kerana Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Shariah adalah petunjuk bahawa Hospital USM memastikan nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kejujuran, kebenaran, keiikhlasan, ketepatan masa dan disiplin disepadukan dalam pengurusan keseluruhan perkhidmatan.

Ianya juga merupakan cerminan bahawa Hospital USM amat menitik beratkan standard etika dalam penyampaian perkhidmatan, termasuk memenuhi keperluan pesakit serta keselamatan mereka selaras dengan maqasid dan qawaid syariah.
Sumbangan Laporan & Foto: Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar