PENGIKTIRAFAN SERTA DOA IRINGI USMKKFC KE KEMUNCAK MPFL2 DIVISYEN 2
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Julai 2025 - Pasukan futsal USMKKFC kini cuma selangkah sahaja lagi untuk bergelar juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 2 2025, kejohanan berprestij kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Penyertaan kali pertama ke liga MPFL Divisyen 2 terus membuahkan hasil membanggakan apabila USMKKFC kini berada di takhta liga dengan 25 mata yang dikutip daripada 10 perlawanan setakat ini dan hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan terakhir bagi menjuarai liga.
Pengurusan serta para pemain USMKKFC turut diraikan dalam Majlis Penghargaan Universiti (MPU) 2025 Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung meriah di Renai Hotel, Kota Bharu, 13 Julai lalu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyantuni dan menyampaikan penghargaan kepada seluruh pasukan serta menyuntik kata-kata semangat bagi menghadapi perlawanan akhir pada hujung minggu ini. Turut berlangsung ialah penyerahan bendera USM kepada pasukan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi pengurusan serta seluruh warga universiti kepada pasukan USMKKFC.
Turut menyantuni para pemain ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pusat Sukan USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dan Timbalan Pendaftar Kanan Kampus Kejuruteraan merangkap Pengurus Pasukan Futsal USMKKFC, Hafiz Assad Zakaria.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Sariman Awang & Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 75