PENGURUSAN DAN KEPERLUAN ANAK AUTISME: PEMINDAHAN ILMU OLEH USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2024 - Pengurusan anak-anak autisme sangat mencabar kerana memerlukan strategi khusus untuk pengendalian yang berkesan. Bagi ibu bapa dan penjaga anak-anak autisme, memahami strategi ini adalah penting untuk memastikan perkembangan dan kesejahteraan anak-anak mereka.
Menyedari hakikat itu, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Persatuan Autisme USM mengambil inisiatif mengadakan program Pemantapan Pengendalian Anak-Anak Autisme dalam Kalangan Ibu Bapa dan Penjaga di Dewan Jubli Perak MPKB, Kota Bharu, pada 8 Oktober lalu.
Program ini bertujuan melengkapkan para ibu bapa dan penjaga dengan kemahiran, pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mengurus keperluan khusus anak-anak autisme di samping memberi penekanan tentang kepentingan kesihatan mental ibu bapa dan penjaga.
Selain itu, program ini juga dapat memperkasa fungsi kepakaran perubatan USM sebagai hospital rujukan utama dan pakar dalam pengendalian intervensi autisme.
Program yang turut mendapat kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (UKekWa) serta Persatuan Autisme Kelantan ini dihadiri kira-kira 100 orang peserta.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Agustine Nengsih Fauzi
- Created on .
- Hits: 152