Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERJUMPAAN KETUA PENGARAH KESIHATAN BERSAMA PENGURUSAN PPSP DAN HPUSM REFLEKSI HUBUNGAN KONSTRUKTIF ANTARA AGENSI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Disember 2025 – Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Dr. Mahathar Abd Wahab meluangkan masa menghadiri Sesi Ramah Mesra dan Dialog Bersama Pengurusan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM), hari ini.

1000208165

1000208178

Sesi berkenaan turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, serta barisan pengurusan tertinggi PPSP, HPUSM dan Ketua-ketua Jabatan. Perjumpaan ini bertujuan meninjau serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pasukan pengurusan USM berkait peranan PPSP dan HPUSM dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, di samping fungsi strategik HPUSM sebagai hospital pengajar dalam melahirkan pegawai perubatan dan pakar perubatan yang kompeten.

1000208172

Terdahulu, Dato’ Sri Dr. Mahathar hadir ke USM bagi memenuhi jemputan sebagai Penasihat Luar kepada Program Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan). Seiring dengan peranan tersebut, beliau turut menjalankan penilaian sebagai Penilai Luar program dengan meninjau kemudahan dan fasiliti rawatan kecemasan di HPUSM, selain memberikan pandangan, nasihat serta cadangan penambahbaikan berkaitan pelaksanaan dan hala tuju program pada masa hadapan.

1000208175

1000208169

Warga USM menyambut baik kehadiran Dato’ Sri Dr. Mahathar selaku tokoh utama dalam pengurusan sektor kesihatan negara. Sesi dialog ini juga memberi ruang yang konstruktif kepada pihak universiti dan hospital untuk menyuarakan secara terus isu-isu strategik serta cadangan kepada pihak KKM, khususnya berkaitan inisiatif memperkasakan bidang perubatan dan kesihatan demi manfaat sistem kesihatan negara secara menyeluruh.

1000208163

Turut hadir ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, Timbalan-timbalan Dekan PPSP USM, Timbalan-timbalan Pengarah HPUSM serta Ketua-ketua Jabatan.

Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 207