Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERJUMPAAN PENGARAH KAMPUS BERSAMA PEMIMPIN MAHASISWA TEKANKAN KERJASAMA, KESELAMATAN DAN PEMBANGUNAN HOLISTIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Disember 2025 - Satu sesi libat urus antara Pengarah Kampus bersama kepimpinan pelajar Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan semalam, melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), para dekan serta ketua-ketua pusat tanggungjawab (PTJ).

1000205662

1000205660

Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua (2) hala antara pengurusan universiti dan barisan kepimpinan mahasiswa, selain memastikan isu-isu kebajikan dan pembangunan pelajar diberi perhatian menyeluruh.

1000205667

Dalam sesi tersebut, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail menegaskan harapan agar MPP dan MPD dapat bergerak seiring serta memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan pelajar. Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang isu yang memerlukan perhatian pengurusan tertinggi perlu disalurkan secara teratur melalui Pejabat Pengarah Kampus (PPK) terlebih dahulu.

1000205670

Antara pesanan utama yang ditekankan termasuk keperluan membangunkan potensi pelajar melalui pendekatan lebih sistematik, termasuk proses ‘grooming’ bagi melahirkan penerima anugerah tertinggi konvokesyen pada masa hadapan. Beliau juga memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kampus seperti isu kecurian, keselamatan persekitaran serta kepentingan pelaksanaan intervensi awal.

1000205673

Selain itu, kepentingan kesihatan fizikal dan mental, program kesejahteraan diri, kesedaran keselamatan seksual, aspek spiritual serta celik kewangan turut diangkat sebagai elemen penting pembentukan sahsiah pelajar. Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan media sosial perlu dilakukan secara berhemah dan tidak disalahgunakan selaras dengan imej universiti.

1000205676

1000205682

Dalam ucapannya, Pengarah Kampus turut menggalakkan kepimpinan mahasiswa menerokai bakat kepimpinan, seni persembahan dan potensi individu melalui program yang lebih kreatif dan inklusif, sekali gus meningkatkan nilai tambah diri dan komuniti kampus.

1000205679

Sesi berakhir dengan komitmen bersama antara pihak pengurusan dan pemimpin mahasiswa untuk memperkukuh kolaborasi serta mempertingkat kesejahteraan pelajar Kampus Kesihatan secara berterusan.

1000205664

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Menjalankan Fungsi Ketua Jabatan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kesihatan USM, Khairul Ithma Mahdi; Ketua-ketua Jabatan, Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Dr. Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin; Yang Dipertua MPP 2025/2026, Muhammad Syahmi Aiman Salleh dan Yang Dipertua MPD Murni Nurani 2025/2026, Hasnani Mohd Jamil.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 155