PERJUMPAAN PENYELARAS KKP KAMPUS KESIHATAN FOKUS AMALAN KERJA SELAMAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mac 2026 – Satu perjumpaan penyelarasan melibatkan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan USM hari ini bagi menyelaras pelaksanaan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan warga kampus.

Perjumpaan yang dianjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) itu menghimpunkan seramai 29 Penyelaras KKP daripada setiap PTJ bagi membentangkan pencapaian, statistik serta pelaksanaan inisiatif keselamatan dan kesihatan pekerjaan sepanjang tahun 2025, di samping memperincikan hala tuju strategik dan perancangan aktiviti bagi tahun 2026.

Antara objektif utama perjumpaan tersebut ialah memperjelas peranan Penyelaras KKP dalam menyokong agenda universiti secara lebih tersusun dan berimpak, selain menyediakan platform perbincangan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat PTJ.

Sesi ini turut menekankan kepentingan memperkasa Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di setiap PTJ, termasuk memastikan setiap dapatan audit serta siasatan insiden dianalisis secara menyeluruh dan tindakan penambahbaikan dipantau sehingga selesai bagi mengelakkan kejadian berulang.

Dalam sesi yang sama, turut berlangsung penyampaian sijil penghargaan kepada tiga (3) PTJ iaitu Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Transformasi Digital dan Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti atas pelaksanaan pra audit yang cemerlang, sekali gus menjadi penanda aras kepada PTJ lain dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Bagi menyokong pelaksanaan amalan kerja selamat secara berterusan, Manual dan Prosedur Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan USM turut diserahkan kepada Penyelaras KKP PTJ sebagai panduan utama dalam pengurusan risiko dan pelaksanaan amalan kerja selamat selaras dengan dasar serta piawaian universiti.
Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan Kampus Kesihatan dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif demi kesejahteraan seluruh warga kampus.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Ketua Unit UKKP, Kampus Kesihatan USM, Muzani Omar @ Mansor.
Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 270