PERKENAL PROGRAM PRA-UNIVERSITI USM ANTARA FOKUS 'GEAR UP!' 2024
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2024 - Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program ‘GEAR UP!’ 2024 (Get Ready for University Programme) kepada kira-kira 100 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri Kelantan dalam kalangan B40.
Program ini bertujuan memberi keyakinan kepada para pelajar dalam menempuh cabaran mendatang bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan memperkenalkan program Pra-Universiti USM kepada kumpulan sasaran untuk memastikan pengisian kuota yang telah diperuntukkan oleh MARA.
Selain itu, ia juga sebagai persediaan awal sebelum menjejakkan kaki ke peringkat pengajian tinggi.
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 3 Mei lalu melabuhkan tirai dengan majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri Kelantan, Mohd Norwawi Ibrahim.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, USM, Ramli Osman; Penyelaras Hal Ehwal Pelajar Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr. Norsamsu Arni Samsuddin dan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Dr. Syed Mohamed Syed Abdullah.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 608