USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 November 2022 – Seramai 44 orang pelajar tingkatan empat (4) Sains dan lima (5) orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad, Pulai Chondong telah mengadakan lawatan Pengukuhan Pendidikan STEM ke Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Antara pengisian sepanjang sesi lawatan ini ialah perkongsian ilmu berkaitan kerjaya kepada para pelajar yang akan tamat pembelajaran di sekolah menengah bagi memilih bidang-bidang yang diminati. Pendedahan ini adalah untuk memotivasi pelajar dalam membuat pilihan yang tepat bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Program ini dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Pengurus Operasi, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), Amyrulhan Azhari dan lawatan ke Perpustakaan Hamdan Tahir, Muzium Anatomi, Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (I-CSC), Unit Perubatan Pemulihan (gimnasium dan robotik) Makmal Teknologi Pergigian, Pusat pengajian Sains Pergigian (PPSG).