PERKUKUH HUBUNGAN KOLABORATIF USM DAN KOMUNITI FOKUS LAWATAN DELEGASI BJIM KE KAMPUS KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 April 2025 – Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BIJM), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan ke Kampus Kesihatan bertujuan menilai keberkesanan serta impak program komuniti sedia ada, di samping memperkukuhkan koordinasi dan menambah baik pelaksanaan program komuniti di Kampus Kesihatan USM.
Lawatan selama dua (2) hari bermula semalam dan diketuai Pengarah Jaringan Komuniti, BJIM USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak itu juga menjadi platform bagi menyokong usaha promosi dan merangka strategi jangka panjang dalam pembangunan projek komuniti di Kampus Kesihatan.
Hari pertama lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai Program Komuniti Kampus Kesihatan USM yang disampaikan oleh Penyalaras BJIM KKUSM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam.
Rombongan kemudiannya dibawa meninjau beberapa program komuniti termasuk lawatan ke Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), Rumah Ronald McDonald (RRM) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Klinik Bergerak USM-Merican, dan Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (PTOKU).
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan lawatan ke D’PRINCE dan Advance National Honey Landmark (AnNAHL) diikuti sesi rumusan dan refleksi sebagai penutup hari pertama.
Hari kedua diisi dengan sesi taklimat dan perbincangan bersama Ketua Perkhidmatan Jaringan Komuniti HPUSM, Dr. Norhayati Mohamad, yang turut melibatkan penyelaras serta ketua-ketua program bertanggungjawab dalam pembangunan komuniti setempat.
Lawatan diteruskan dengan sesi perbincangan bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kampus Kesihatan USM antaranya Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) bagi membincangkan cabaran serta hala tuju program komuniti di peringkat fakulti.
Lawatan hari kedua juga diakhiri dengan sesi rumusan dan refleksi yang berharap agar lebih banyak usaha dilakukan untuk memperkukuhkan lagi hubungan kolaboratif antara USM dan komuniti setempat, selain memperhebat agenda tanggungjawab sosial universiti dalam mendepani cabaran kesihatan awam masa kini.
Turut hadir dalam sesi rumusan tersebut ialah Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Industri Komuniti Libatsama, PPSK USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Ketua Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.
Teks: Rosalwani Che Soh dan Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM) /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 60