USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Julai 2023 – Kesedaran dan pengetahuan tentang bahasa isyarat masih berada pada tahap yang kurang memuaskan dalam kalangan masyarakat kita. Justeru, pasukan pergigian dan perubatan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kelantan, Lati, Pasir Mas mengambil inisiatif mengadakan program bahasa isyarat bagi meningkatkan kepentingan dan keperluan mempelajari bahasa isyarat untuk kesihatan pergigian pada 6 Julai lalu.


‘Gigi sakit, gigi berlubang, gigi bongsu, gosok gigi, gigi geraham, badan sihat’ adalah antara istilah komunikasi bahasa isyarat yang dilatih dan digunakan dalam program ini.
Program bahasa isyarat ini bertujuan mempelajari amalan penjagaan kesihatan pergigian serta masalah dan rawatan pergigian. Selain itu, bahasa isyarat untuk kesihatan pergigian, mental, dan fizikal adalah satu keperluan untuk meningkatkan komunikasi dalam kalangan murid-murid berkeperluan khas.


Projek yang diketuai oleh Dr. Noor Huda Ismail ini turut melibatkan pakar kesihatan, pelajar USM, staf sokongan dan para guru melalui aktiviti pembelajaran dan pengajaran bahasa isyarat amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup. Penyebaran tentang kesedaran bukan sahaja bermula di sekolah pendidikan khas, tapi juga dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam khususnya pergigian dan perubatan agar golongan ini tidak rasa terpinggir.
Sumber Laporan : Dr. Noor Huda Ismail / Foto: Anis Azniriza Zainol