PERSIDANGAN KESEDARAN KANSER HATI MEDIUM TINGKATKAN PENGETAHUAN AWAM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 April 2025 – Sempena Sambutan Hari Hati Sedunia 2025, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Kelab Unit Klinikal, Hospital Pakar USM, Internal Medicine Society (IMS), Family Medicine Society Kelantan (FMSK) telah menganjurkan ‘East Coast Liver Cancer Awareness and Updates’ (ECLCAU) 2025 pada 19 April lalu.
Persidangan mengenai kesedaran kanser hati yang berlangsung di Dewan Sri Makmur 2, H Elite Hotel, Kota Bharu itu menghimpunkan seramai 83 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional perubatan, pelajar kesihatan dan orang awam yang prihatin terhadap isu kesihatan hati.
Persidangan yang mendapat kerjasama Roche (Malaysia) Sdn Bhd, Roche Diagnostics dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Kelantan itu bertujuan meningkatkan pengetahuan awam tentang kanser hati termasuk faktor risiko, simptom awal serta kaedah pencegahan selain penekanan terhadap kepentingan mendapatkan rawatan awal dan menyokong penyelidikan untuk rawatan yang lebih berkesan.
Antara fokus utama yang diketengahkan dalam persidangan ini termasuklah aspek pencegahan melalui perubahan gaya hidup sihat seperti mengelak jangkitan Hepatitis B dan C, pengurangan pengambilan alkohol serta mengekalkan berat badan ideal. Disamping itu, penekanan turut diberikan kepada pengesanan awal melalui promosi saringan berkala, khususnya bagi individu berisiko tinggi seperti pesakit hepatitis, sirosis dan penyakit hati kronik.
Peserta juga turut didedahkan dengan tanda-tanda awal kanser hati seperti jaundis (penyakit kuning), sakit perut yang berpanjangan, kehilangan berat badan secara mendadak serta keletihan melampau.
Persidangan ini turut membentangkan perkembangan terkini dalam rawatan kanser hati, merangkumi pendekatan seperti pembedahan, kemoterapi, pemindahan hati serta terapi bersasar.
Selain itu, penganjuran persidangan seumpama ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkasakan komuniti dengan ilmu kesihatan yang tepat serta mendorong ke arah tindakan pencegahan yang lebih berkesan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Shahrizal Mustaffa
- Created on .
- Hits: 47