USM, KUBANG KERIAN, 21 November 2022 - Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) anjuran Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital USM dengan kerjasama Rumah Ronald McDonald Hospital USM (RMHC) dan Jabatan Pediatrik menceriakan pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan.
Penganjuran majlis itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kakitangan SDH Hospital USM dan RMHC dengan ibu bapa, peneman pesakit, pelajar SDH dan staf Hospital USM selain mampu meningkatkan motivasi dan semangat pelajar untuk belajar walaupun sedang menjalani rawatan di Hospital.
Pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung seperti permainan sepakan penalti (bola sepak kertas), baling gelung plastik, penalti hoki, bawa bola ping pong dalam sudu, perlawanan ‘chess’, ‘scrabble’, mewarna dan cabutan bertuah. Kemeriahan sambutan turut dihiasi dengan kehadiran Maskot McDonald dan Maskot ‘Super Heroes’ yang menyantuni pesakit kanak-kanak sambil menyampaikan belon dan hadiah selain agihan ‘Happy Meals’ oleh pihak RMHC.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Jabatan, Jabatan Pediatrik, Dr. Mohamad Ikram Ilias, Pengurus RMHC Hospital USM, Nurul Wahida Harun dan Penyelia SDH Hospital USM, Teo Seng Hue.