PGRD 2025 PLATFORM PERKONGSIAN ILMU DAN INOVASI PENYELIDIKAN GLOBAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2025 – Sebagai usaha memupuk kerjasama penyelidikan merentasi institusi tempatan dan antarabangsa, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘5th Postgraduate Research Day’ (PGRD) 2025 pada 13 hingga 14 Ogos lalu.

Bertemakan ‘Innovating Healthcare: Bridging Science, Technology and Clinical Excellence’, PGRD 2025 juga merupakan platform untuk pelajar pasca siswazah membentangkan dan berkongsi penyelidikan mereka.

Selain itu, program ini juga diadakan bertujuan menyokong pembangunan profesional melalui rangkaian dan pertukaran akademik selain memenuhi keperluan Malaysian Qualifications Agency (MQA) untuk jaminan kualiti berterusan kemajuan penyelidikan pasca siswazah.

Program tahunan ini menghimpunkan lebih 80 pelajar pascasiswazah, pensyarah, penyelia serta penyelidik dari dalam dan luar negara. Antara negara yang turut serta termasuk Indonesia, Pakistan, India, Iraq dan China, menjadikan PGRD 2025 sebuah platform bertaraf antarabangsa yang menghubungkan penyelidik daripada pelbagai disiplin dan latar belakang.

Penganjuran kali ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dalam bidang biomaterial, sains asas, aplikasi klinikal, kejuruteraan bioperubatan serta inovasi kesihatan awam.

PGRD juga merupakan wadah penting untuk melahirkan penyelidik muda yang bukan sahaja berdaya saing, malah mampu menyumbang kepada pembangunan kesihatan sejagat.

Sepanjang dua (2) hari PGRD 2025 berlangsung, para peserta diberi peluang untuk membuat pembentangan kajian, sesi soal jawab serta perbincangan akademik yang mencetuskan idea baharu dan membuka peluang kolaborasi penyelidikan.

Kepelbagaian topik serta kehadiran peserta antarabangsa membuktikan bahawa sains tidak mengenal sempadan. Semangat kolaborasi dan inovasi yang ditunjukkan wajar diteruskan untuk memacu kecemerlangan penyelidikan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Yusop
- Created on .
- Hits: 174