Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PGRD 2026 PERLUAS PERKONGSIAN PENYELIDIKAN DAN KOLABORASI ANTARABANGSA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2026 – ‘6th Postgraduate Research Day’ (PGRD) 2026 menjadi platform kepada pelajar pascasiswazah untuk membentangkan dan berkongsi hasil penyelidikan, di samping membuka ruang kepada pembentukan kolaborasi penyelidikan antara institusi tempatan dan antarabangsa.

Program yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos lalu di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) itu bertemakan ‘Resilient by Design: Reinventing Intelligence for Robust Healthcare’ menghimpunkan seramai 74 peserta terdiri daripada pelajar pascasiswazah dari pelbagai universiti di Malaysia serta penyertaan antarabangsa daripada Universitas Airlangga (UNAIR) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia.

Penganjuran PGRD 2026 turut memberi peluang kepada peserta membina jaringan profesional melalui pertukaran pengetahuan dan pengalaman akademik, selain menyokong pembangunan penyelidikan pascasiswazah secara berterusan.

Pada masa yang sama, program ini turut menyokong keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam memastikan jaminan kualiti berterusan terhadap perkembangan penyelidikan pelajar pascasiswazah.

Sepanjang dua (2) hari penganjuran, peserta mengikuti pembentangan hasil penyelidikan pelajar dalam tiga (3) kategori utama iaitu ‘Basic Sciences’, ‘Biomaterials’ serta ‘Public Health and Clinical Research’.

Sebanyak sembilan (9) hadiah utama disampaikan kepada para pemenang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan saintifik dan kualiti penyampaian hasil penyelidikan yang dibentangkan.

Program ini turut diisi dengan sesi penghargaan kepada rakan kolaborasi yang telah menyokong penganjuran PGRD 2026, sekali gus mencerminkan kepentingan jaringan strategik antara institusi akademik dan industri dalam menyokong pembangunan penyelidikan.

Hadir merasmikan PGRD 2026 ialah Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin. Beliau turut menekankan bahawa komitmen peserta dalam mengetengahkan penyelidikan berimpak tinggi merupakan cerminan kepada masa depan penyelidikan pergigian dan kesihatan yang lebih inovatif serta berdaya tahan.

Beliau juga turut berharap agar jaringan kolaborasi yang terbina sepanjang penganjuran PGRD 2026 terus berkembang dan memberi manfaat kepada komuniti akademik serta industri pada masa hadapan.

Sumber Laporan & Foto: Ts. Dr. Siti Aishah Zainal dan Ts. Dr. Norhayati Yusop

  • Created on .
  • Hits: 57