PPBLT USM PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA MELALUI PROGRAM B.R.I.D.G.E.
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2026 – Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program ‘Bilingual Intercultural Dialogue and Global Exchange’ (B.R.I.D.G.E.) sebagai platform pembelajaran bahasa, pertukaran budaya dan interaksi antarabangsa melibatkan pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Princess of Naradhiwas University (PNU), Thailand.

Program yang berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos lalu itu memberi peluang kepada peserta mengikuti pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi pelbagai aktiviti interaktif, termasuk lawatan ke lokasi kebudayaan di Kelantan bagi mengenali warisan, sejarah dan identiti budaya tempatan.


Peserta turut berpeluang berinteraksi dan menjalankan aktiviti bersama pelajar Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian keupayaan serta memupuk nilai empati, komunikasi dan keterangkuman.

Selain itu, aktiviti ‘World Cafe’ memberi ruang kepada peserta meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris melalui perbincangan dan pertukaran idea, manakala bengkel penulisan ‘resume’ dan persiapan temu duga membantu peserta membina keyakinan serta kemahiran komunikasi profesional.

Menerusi pendekatan pembelajaran dalam situasi autentik, program tersebut turut meningkatkan keyakinan berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan dan kesedaran antara budaya dalam kalangan peserta.


Penganjuran B.R.I.D.G.E. mencerminkan komitmen PPBLT dalam memperluas pembelajaran bahasa, pendidikan inklusif dan pengantarabangsaan USM, di samping mempererat jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Thailand.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Adillah Ramlan
- Created on .
- Hits: 74