PPSG USM PERLUAS AKSES KESIHATAN PERGIGIAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2026 – Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas pemindahan ilmu dan kepakaran kesihatan pergigian kepada komuniti menerusi Program Pemerkasaan Kesihatan Mulut dan Keberkesanan Sapuan ‘Silver Diamine Fluoride’ (SDF) dalam Kalangan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas di Felda Chiku 3, Gua Musang pada 23 September lalu.

Program ini memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas melalui perkongsian ilmu, latihan penjagaan kesihatan mulut dan pemeriksaan pergigian.

Antara pengisian program ini ialah ceramah berkaitan penyakit gusi dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas, perkongsian mengenai kebaikan sapuan fluorida, latihan memberus gigi secara interaktif serta aplikasi rawatan sapuan SDF sebagai langkah pencegahan karies.

Peserta turut menjalani saringan pemeriksaan pergigian percuma, selain mengikuti pameran kesihatan dan forum soal jawab bersama ibu bapa serta penjaga.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama daripada guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Ciku 3, PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen PPSG USM dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan pergigian yang inklusif dan berkualiti, khususnya kepada golongan berkeperluan khas di kawasan luar bandar.


Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Yusop
- Created on .
- Hits: 113