PPSG USM SANTUNI KOMUNITI GUA MUSANG DENGAN SARINGAN KESIHATAN DAN RAWATAN PERGIGIAN PERCUMA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Oktober 2025 – Bagi meningkatkan kesedaran dan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar mengenai aspek penjagaan kesihatan, khususnya rawatan pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pendekatan menganjurkan Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani: Saringan Kesihatan dan Pergigian untuk Komuniti pada 26 dan 27 September lalu.


Program yang berlangsung di Kampung Lulut, Mukim Kuala Sungai, Gua Musang ini menarik penyertaan lebih 200 komuniti setempat bertujuan menumpukan perhatian kepada komuniti luar bandar yang berdepan dengan cabaran akses kepada perkhidmatan kesihatan asas dan pergigian. Penduduk yang biasanya perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan kini dapat menikmati perkhidmatan secara percuma di kawasan mereka sendiri dengan adanya program ini.


Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Kuala Sungai, MEDICOM Malaysia, Pertubuhan Ihsanku Malaysia, Farmasi Lautan Sdn. Bhd., Pusat Khidmat Nenggiri Kita, dan Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada kesihatan penduduk luar bandar tetapi juga membantu memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, komuniti dan rakan strategik yang terlibat.

Antara pengisian program ini ialah pemeriksaan kesihatan secara percuma meliputi bacaan tekanan darah, paras gula dalam darah, kolesterol serta indeks jisim badan (BMI) selain rawatan pergigian asas seperti pembersihan gigi (scaling), tampalan dan cabutan.

Program ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan yang adil dan berkualiti, serta SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan menerusi peluasan akses kesihatan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Program sebegini bukan sekadar projek saringan kesihatan semata-mata tetapi merupakan manifestasi sebenar nilai keterangkuman, keprihatinan dan kolaborasi pelbagai disiplin yang wajar diteruskan dan diperluaskan.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang dan Dr. Noor Huda Ismail
- Created on .
- Hits: 296