PPSG USM TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN GUSI, CEGAH PENYAKIT SISTEMIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2026 – Dalam usaha memastikan golongan komuniti menjaga kesihatan oral dengan baik dan berpenampilan lebih meyakinkan, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) kali ini turun padang melaksanakan Program Kesihatan Pergigian: Kesedaran Kepentingan Kesihatan Gusi dan Kaitan dengan Penyakit Sistemik di Madrasah Daril Naim (Pondok), Mukim Padang Halban, Melor, Kota Bharu, pada 22 Ogos lalu.

Program khidmat komuniti yang melibatkan seramai 70 peserta terdiri daripada penghuni pondok dan pelajar tahfiz itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan gusi dan mulut, di samping memberi pendedahan tentang hubungan rapat antara kesihatan oral dan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan.


Pelbagai aktiviti interaktif yang menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung termasuk sesi ceramah mengenai penyakit gusi dan kaitannya dengan penyakit sistemik, perkongsian berkaitan kesihatan oral dalam kalangan remaja, kuiz kesihatan gusi, demonstrasi teknik memberus gigi yang betul serta pameran kesihatan pergigian.

Peserta turut berpeluang menjalani saringan penyakit periodontal dan pemeriksaan kesihatan asas sebagai langkah awal mengenal pasti tahap kesihatan mereka serta mendapatkan nasihat berkaitan penjagaan kesihatan mulut yang lebih berkesan.

Sebagai usaha memperkasakan amalan penjagaan kesihatan pergigian dalam komuniti madrasah, tiga (3) peserta telah dipilih sebagai Rakan Gusi Sihat berdasarkan tahap kebersihan gigi dan gusi yang cemerlang. Kejayaan mereka diharap menjadi contoh teladan dan agen perubahan dalam menggalakkan amalan penjagaan kesihatan mulut yang baik dalam kalangan warga madrasah.


Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menilai tahap pengetahuan peserta mengenai penyakit gusi, meningkatkan kemahiran penjagaan kesihatan mulut serta memupuk kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah proaktif bagi mengekalkan kesihatan gusi dan mulut yang optimum.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Haslina Taib
- Created on .
- Hits: 66