Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PPSG USM TINGKAT KESEDARAN PENGURUSAN BAHAN KIMIA, KESELAMATAN MAKMAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2026 – Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memberi perhatian terhadap aspek pengurusan bahan kimia dan keselamatan makmal menerusi Program Pengukuhan Pengurusan Bahan Kimia dan Keselamatan Makmal Penyelidikan PPSG ke Arah Pematuhan dan Kesiapsiagaan Audit Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) serta Chemical Health Risk Assessment (CHRA) melalui Kolaborasi Strategik USM–OH Digital Solution pada 10 September lalu.

Program berkenaan dilaksanakan sebagai platform untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kompetensi warga Makmal Penyelidikan PPSG berkaitan pengurusan bahan kimia secara sistematik, selamat dan mematuhi keperluan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Antara pengisian utama program ini ialah ceramah ‘Occupational Safety and Health: Hazardous Chemical (HC) vs Chemical Hazardous to Health (CHTH)’ yang memberi pendedahan berkaitan pengenalpastian bahaya, risiko pendedahan bahan kimia serta langkah kawalan yang bersesuaian dan ceramah bertajuk ‘Chemical Storage Management: Guidelines on Storage of Hazardous Chemicals – A Guide for a Safe Workplace’ yang memberi penekanan terhadap pengasingan bahan berdasarkan keserasian, pelabelan, susunan penyimpanan, pengurusan inventori dan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan serta pendedahan bahan kimia.

Program ini turut membuka ruang kepada warga makmal mengenal pasti aspek pengurusan sedia ada yang boleh ditambah baik ke arah sistem pengurusan bahan kimia yang lebih tersusun, didokumentasikan dan berterusan.

Kolaborasi strategik USM bersama OH Digital Solution menerusi program ini turut menyediakan ruang perkongsian ilmu, kepakaran dan amalan terbaik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus menyokong usaha PPSG meningkatkan kesiapsiagaan makmal menghadapi audit UKKP dan penilaian CHRA.

Sumber Laporan & Foto: Wan Nor Aziemah Wan Zainulddin

  • Created on .
  • Hits: 57