PPSK USM TINGKAT KESEDARAN MASYARAKAT DALAM PENCEGAHAN JENAYAH MELALUI PROGRAM PENULISAN LAPORAN POLIS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Oktober 2025 – Sebagai inisiatif menyampaikan maklumat kepada masyarakat berhubung cara-cara penulisan laporan polis yang tepat agar tidak meninggalkan sebarang butiran penting, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Sains Forensik (FOSSA) dan Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) telah menganjurkan Program Laporan Penulisan Polis pada 23 Oktober lalu.


Program yang disertai kira-kira 200 peserta ini antara lain bertujuan membina masyarakat yang peka dalam mencegah jenayah serta memperkukuh hubungan antara komuniti dan pihak berkuasa bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.


Hadir merasmikan program ini ialah Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MCPF Kelantan, Dato' Sheik Azhar Sheik Omar.


Program yang berlangsung di Dewan PUMA Kampus Kesihatan USM ini turut diisi dengan dengan tiga (3) siri ceramah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants (ATIPSOM) MCPF dan juga Pensyarah Program Sains Forensik, Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat, Pegawai Turus D5 Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Superintendan Nor Mazura Yaacob dan Pegawai Cawangan Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Negeri Kelantan, Penolong Penguasa Anis Sofiah Che Hashim.

Selain itu, sketsa pencegahan jenayah turut dipamerkan kepada peserta di akhir program bertujuan memberi maklumat berkaitan cara-cara pencegahan jenayah.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Nik Fakhuruddin Nik Hassan
- Created on .
- Hits: 170