PPSP USM, UNIVERSITAS TRISAKTI PERKASA PERKONGSIAN AKADEMIK MELALUI KULIAH TAMU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2026 – Kerjasama akademik antara Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Trisakti, Indonesia terus diperkukuh menerusi sesi "Guest Lecture" bertemakan “Shaping the Future of Surgical Care: Innovation, Evidence, and Research” yang menghimpunkan barisan pensyarah dan pakar perubatan daripada kedua-dua institusi dan Hospital Budhi Asih, pada 7 September lalu.
Sesi yang berlangsung di Budhi Asih Regional General Hospital itu menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang penjagaan pembedahan, inovasi, penyelidikan serta pendidikan perubatan, selain memberi ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Sesi "Guest Lecture" berkenaan menampilkan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak yang berkongsi topik ‘From Knowledge Generation to Societal Benefit: Assessing Research Impacts’, dengan penekanan terhadap kepentingan menjana penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain itu, Pakar Bedah Kanak-kanak, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohd Shahrulsalam Mohd Shah turut menyampaikan kuliah bertajuk ‘Small Patients, High Stakes: Navigating Paediatric Surgical Trauma’ yang mengetengahkan cabaran dan pertimbangan penting dalam pengurusan trauma pembedahan pediatrik.

Perkongsian turut disampaikan oleh dr. Dannu Novriandhika, Sp.B dari Hospital Budhi Asih menerusi topik ‘Beyond the Golden Hour: Contemporary Management of Abdominal Trauma’, manakala dr. Guntur Utama Putera, Sp.OT membawakan topik ‘Life Before Limb: Priorities in the Initial Management of Orthopaedic Trauma’.
Kepelbagaian topik dan kepakaran yang diketengahkan menjadikan sesi berkenaan sebagai wadah perkongsian yang memperlihatkan kepentingan pendekatan berasaskan bukti, inovasi dan penyelidikan dalam memperkukuh penjagaan pesakit serta pendidikan perubatan.

Selain sesi akademik, program tersebut turut membuka ruang kepada perbincangan dua hala berkaitan hubungan keserakanan dan pengurusan institusi. Perbincangan berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama yang boleh diperkasakan pada masa akan datang, khususnya dalam aspek pengurusan dan hubungan antara institusi.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen PPSP USM dan Universitas Trisakti dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa serta membina hubungan keserakanan yang menyokong perkembangan pendidikan, penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang perubatan.

Melalui platform seumpama ini, PPSP USM terus memperkukuh keterlibatan antarabangsa dengan memanfaatkan jaringan strategik bagi mewujudkan peluang kolaborasi akademik yang lebih luas serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan penyelidikan perubatan di peringkat global.
Sumber Laporan & Foto: Ahmad Nazirul lzwan Mohd Saar
- Created on .
- Hits: 58