PPSP USM SANTUNI HAMPIR 400 PENDUDUK BANDUNG BARAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 September 2026 – Hampir 400 penduduk Desa Kertawangi, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat menerima manfaat pemeriksaan dan rawatan kesihatan secara percuma menerusi Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa anjuran Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universitas Trisakti, Indonesia pada 6 September lalu.
Program tersebut melibatkan 14 pelajar Elektif Klinikal PPSP USM bersama pelajar Universitas Trisakti yang memberikan perkhidmatan pemeriksaan dan pendidikan kesihatan kepada pelbagai kumpulan masyarakat termasuk ibu mengandung, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, kolesterol dan asid urik serta pendidikan berkaitan pemakanan sihat, pencegahan anemia, kesihatan ibu dan kehamilan, HIV dan Hepatitis A.
Penglibatan pelajar kedua-dua institusi turut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan ilmu perubatan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta membina semangat kesukarelawanan melalui interaksi secara langsung bersama komuniti.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar berkongsi ilmu dan kemahiran perubatan di samping memperluas perspektif serta meningkatkan keyakinan ketika berinteraksi dengan masyarakat.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PPSP USM dan Universitas Trisakti dalam menyokong agenda pengantarabangsaan melalui aktiviti pendidikan, kesihatan dan khidmat masyarakat yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan antarabangsa.

Sumber Laporan & Foto: Ahmad Nazirul Izwan Mohd Saari
- Created on .
- Hits: 33