PROGRAM DERMA DARAH MEGA PRA SYAWAL 2026 BANTU TAMBAH BEKALAN DARAH HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mac 2026 – Program Derma Darah Mega Pra Syawal 2026 berjaya menarik sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat apabila berjaya mengumpul 161 unit beg darah bagi membantu menambah bekalan darah di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Program yang berlangsung pada 11 Mac lalu bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam ini merupakan anjuran Persatuan Sains Makmal Perubatan USM (AMeLS) dengan kerjasama Unit Perubatan Transfusi HPUSM dan Jawatankuasa Kelestarian Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM.

Program ini diadakan bertujuan membantu Unit Perubatan Transfusi HPUSM menyediakan stok bekalan darah yang mencukupi bagi menampung keperluan pesakit sepanjang musim perayaan yang lazimnya meningkat.

Hasil dapatan kaji selidik yang dijalankan mendapati 43.4 peratus (%) penderma adalah daripada kalangan orang awam, sekali gus menunjukkan peningkatan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah.

Program derma darah seumpama ini diharap dapat diadakan secara berkala pada masa akan datang bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk merawat pesakit yang memerlukan rawatan segera.


Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada komuniti, malah turut mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan, hospital dan masyarakat setempat dalam usaha memperkukuhkan budaya pendermaan darah secara sukarela.
Sumber Laporan & Foto: Asmida Md Noh
- Created on .
- Hits: 331