PROGRAM 'FIT FOR LIFE' USM BANTU WARGA JPNIN AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan telah melaksanakan Program ‘Fit for Life’ bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga JPNIN yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti pada 13 Julai lalu.

Modul ‘Fit for Life’ dibangunkan oleh penyelidik USM sebagai satu intervensi berstruktur yang menggabungkan latihan fizikal, pendidikan kesihatan dan bimbingan pemakanan bagi membantu peserta menguruskan berat badan serta mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Keberkesanan program akan dinilai berdasarkan perubahan berat badan, indeks jisim badan (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolesterol darah serta peningkatan kualiti hidup peserta. Bagi memastikan kelestarian program ini, peserta turut dibekalkan dengan video latihan ‘FitLife Circuit’ sebagai panduan untuk meneruskan aktiviti fizikal secara kendiri selepas tamat intervensi.

Program ini diketuai oleh Dr. Wan Syaheedah Wan Ghazali dengan sokongan pasukan jurulatih USM seramai lapan (8) orang yang terdiri daripada pensyarah dan pegawai daripada Jabatan Fisiologi, Unit Sains Senaman dan Sukan serta Unit Pemakanan dan Dietetik. Kolaborasi pelbagai disiplin ini bertujuan memastikan pelaksanaan program dijalankan secara menyeluruh melalui gabungan kepakaran dalam bidang fisiologi, sains sukan dan pemakanan.

Sebagai langkah awal pelaksanaan program, sesi saringan kesihatan telah diadakan pada 18 April 2026 di Kompleks Perpaduan Daerah Machang, melibatkan 250 orang staf dan guru Tadika Perpaduan dari seluruh Kelantan. Saringan ini merangkumi pengukuran berat badan, BMI, tekanan darah, paras gula dan kolesterol darah serta penilaian kualiti hidup bagi mendapatkan data asas sebelum intervensi dijalankan.
Seterusnya, ‘Training of Trainers’ (ToT) telah dilaksanakan pada 27 Jun 2026, melibatkan 20 orang jurulatih yang mewakili 10 jajahan di Kelantan. Melalui latihan ini, jurulatih dari JPNIN diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membimbing pelaksanaan program di peringkat komuniti dengan pemantauan berterusan daripada pasukan USM.

Program ‘Fit for Life’ ini telah dilaksanakan di Kompleks Perpaduan Machang dengan penyertaan 88 orang kakitangan JPNIN dari seluruh Kelantan. Sepanjang tempoh 12 minggu, peserta mengikuti modul ‘Fit for Life’ yang merangkumi latihan litar, ceramah pemakanan sihat, pendidikan Pinggan Sihat Malaysia (Suku-Suku-Separuh) serta modul aktiviti fizikal termasuk amalan 10,000 langkah sehari.
Pelaksanaan program ini selaras dengan keperluan menangani peningkatan kadar berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia. Berdasarkan National Health and Morbidity Survey 2023, lebih 54 peratus (%) rakyat dewasa negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memindahkan kepakaran kepada masyarakat melalui kerjasama strategik bersama JPNIN, sekali gus menyokong usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti.
Sumber Laporan dan Foto: Wan Siti Natasya Azwa W Badarudin
- Created on .
- Hits: 266