Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM HUFFAZ PROFESIONAL USM LAHIRKAN CENDEKIAWAN KESIHATAN BERJIWA AL-QURAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 November 2025 – Dalam usaha melahirkan generasi profesional kesihatan yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik dan klinikal tetapi juga berpaksikan nilai-nilai al-Quran, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Islam Kampus Kesihatan telah menganjurkan Program Huffaz Profesional USM yang dirasmikan di Masjid Mukim Kampus Kesihatan pada 1 November lalu.

1000195654

Program yang menghimpunkan lebih 70 peserta termasuk penyertaan secara dalam talian daripada pelajar USM-KLE, India ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh budaya hafazan al-Quran serta membentuk sahsiah pelajar yang berteraskan nilai spiritual, kepimpinan dan integriti Islam.

1000195656

Program yang mendapat kerjasama strategik daripada Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS) ini memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan hafazan al-Quran sepanjang tempoh pengajian di samping memupuk disiplin dan keseimbangan antara kecemerlangan ilmu dengan kekuatan rohani.

1000195659

Pada masa yang sama, program ini juga membuka peluang kepada pelajar yang belum pernah menghafaz al-Quran untuk memulakan langkah pertama dalam suasana sokongan yang berstruktur, tersusun dan inklusif. Ia bukan sekadar platform hafazan, tetapi turut berperanan sebagai medan tarbiyah yang membina disiplin rohani, memperkukuh integriti serta menyemai nilai empati iaitu ciri-ciri penting yang amat diperlukan dalam dunia kesihatan moden.

1000195661

Pendekatan berstruktur yang dilaksanakan ini bukan sahaja memperkukuh identiti pelajar sebagai huffaz, malah memperluas jaringan sokongan komuniti cintakan al-Quran di peringkat universiti.

1000195663

Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam membentuk profesional kesihatan yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan spiritual yang selaras dengan aspirasi USM sebagai universiti APEX yang terus memartabatkan ilmu, akhlak dan nilai cintakan al-Quran dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Hadir merasmikan program tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail. Turut hadir ialah Pengurus Besar KIAS Insani Sdn. Bhd., Ustaz Muhammad Amiri Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya, Alumni dan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM merangkap Ketua Pasukan Petugas Program Huffaz Profesional USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd. Sattar@Ismail.

Sumber Laporan & Foto: Che Hanidaidayu Che Ab Ghani

  • Created on .
  • Hits: 279