Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM IMPRESS BINJAI BERI PENDEDAHAN LITERASI EMOSI, KESEDARAN PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2026 – Program IMPRESS Binjai – Siri 1: Modul Pengenalan Program dan Literasi Emosi memberi pendedahan kepada ibu bapa dan kanak-kanak mengenai kepentingan literasi emosi sebagai asas pembentukan keluarga yang lebih selamat, penyayang dan menyokong.

Program anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Hospital Pakar USM (HPUSM) dengan kerjasama komuniti Binjai dan Malaysians Against Pornography (MAP) Kelantan itu melibatkan 60 peserta terdiri daripada 28 ibu bapa dan 32 kanak-kanak berumur sembilan (9) hingga 15 tahun serta dilaksanakan di Sekolah Menengah Islam Aman Binjai pada 22 Ogos lalu.

Siri pertama daripada lima (5) modul yang dirancang secara berperingkat itu memberi fokus kepada pengenalan program, pemahaman emosi asas, pengurusan dan luahan emosi secara sesuai serta pembinaan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak.

Bagi kanak-kanak, aktiviti interaktif seperti permainan, kad emosi, simulasi, perbincangan dan aktiviti berkumpulan membantu mereka mengenal pasti serta menamakan emosi, meluahkan perasaan dengan cara yang sesuai dan mengetahui kepentingan mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai.

Dalam masa sama, ibu bapa juga didedahkan kepada kepentingan memahami emosi anak, mendengar secara aktif, memberikan respons yang sesuai serta membina komunikasi yang terbuka dan positif dalam keluarga.

Program IMPRESS Binjai turut menjadi platform pemindahan ilmu dan libat urus USM bersama komuniti melalui gabungan kepakaran akademik, kesihatan dan komuniti dalam pendidikan pencegahan serta perlindungan kanak-kanak.

Lima (5) siri modul yang dirancang merangkumi Modul 1: Pengenalan Program dan Literasi Emosi; Modul 2: Pendidikan Seksual dan Reproduktif; Modul 3: Sentuhan Selamat dan Batasan Peribadi; Modul 4: Bahaya Pornografi dan Intervensi Awal serta Modul 5: Keselamatan Siber dan Penggunaan Media Sosial Secara Selamat.

Pelaksanaan secara berperingkat ini diharapkan dapat membina pengetahuan, keyakinan dan komunikasi keluarga secara berterusan, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk perkembangan emosi dan perlindungan kanak-kanak.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Azliana Aziz

  • Created on .
  • Hits: 101