Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM INTERVENSI KESIHATAN ORAL: USM BANTU TINGKAT AMALAN PENJAGAAN MULUT PELAJAR DAN GURU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Disember 2025 - Penyakit oral merupakan antara masalah kesihatan awam yang paling lazim di peringkat global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa hampir separuh daripada populasi dunia mengalami penyakit oral, khususnya karies gigi dan penyakit periodontal.

1000207833

1000207823

Di Malaysia, kedua-dua penyakit ini turut dikenal pasti sebagai masalah kesihatan oral utama dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan sering kurang diberi perhatian. Masalah gigi dan gusi yang tidak dirawat boleh menjejaskan tumpuan pembelajaran, keyakinan diri serta interaksi sosial dan berpotensi membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyakit oral boleh dicegah dan dirawat melalui pengesanan awal serta pendidikan kesihatan di peringkat penjagaan kesihatan primer.

1000207825

1000207827

Menyedari hakikat ini, Pusat Pengajian Sains Pergigian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Intervensi Kesihatan Oral dalam Kalangan Pelajar dan Guru Sekolah Menengah Islam Aman Kota Bharu bermula bulan April dan berakhir pada 9 Disember lalu.

1000207829

1000207831

Lawatan pertama program ini telah dijalankan pada 16 April 2025 sebagai fasa pra-intervensi. Penilaian status kesihatan oral telah dilakukan terhadap pelajar dan guru bagi mengenal pasti keadaan gigi dan gusi serta keperluan rawatan pergigian. Lawatan kedua pula diadakan pada 14 Mei 2025 sempena Hari Intervensi Kesihatan Oral yang memberi tumpuan kepada aktiviti pendidikan dan pencegahan. Sesi pemindahan ilmu telah dijalankan merangkumi topik karies gigi, penyakit periodontal, trauma pergigian, pertumbuhan gigi serta amalan penjagaan kesihatan mulut.

1000207835

Sebagai langkah memastikan keberkesanan program, seramai 10 orang Duta Kesihatan Oral telah dilantik selepas Hari Intervensi, terdiri daripada dua (2) orang guru dan lapan (8) orang murid yang mewakili setiap tingkatan. Duta ini berperanan merancang dan melaksanakan aktiviti kesihatan oral di peringkat sekolah sepanjang tempoh program berlangsung. Program yang dirancang oleh duta ini akan diteruskan ke tahun persekolahan seterusnya sebagai usaha berterusan pihak sekolah dalam mempromosikan amalan penjagaan kesihatan mulut.

1000207837

Lawatan ketiga dan terakhir yang diadakan 9 Disember lalu pula merupakan lawatan pasca-intervensi dan penutup program. Penilaian semula status kesihatan oral telah dijalankan bagi membandingkan perubahan sebelum dan selepas intervensi. Program ini dilihat berjaya meningkatkan kesedaran dan amalan penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan pelajar dan guru serta berpotensi untuk diperluaskan ke sekolah lain pada masa hadapan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Kasmawati @ Norhidayati Mokhtar

  • Created on .
  • Hits: 214