Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM JALINAN UKHUWAH ASYURA ERATKAN SILATURAHIM WARGA KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Julai 2026 – Semangat kebersamaan, ukhuwah dan budaya gotong-royong terus disemarakkan apabila Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Jalinan Ukhuwah Asyura di Perkarangan Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Program ini menjadi wadah menghimpunkan warga kampus dalam suasana penuh harmoni bersempena Hari Asyura, di samping menghayati nilai-nilai murni Islam seperti perpaduan, kasih sayang, semangat gotong-royong dan saling membantu dengan memasak lapan (8) kawah bubur asyura.

Hadir memeriahkan program ialah Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izani Ghani @ Ab Ghani, yang turut menitipkan kata-kata semangat kepada warga kampus yang menyertai program ini dan menegaskan bahawa program tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebesaran Islam, malah menjadi medium terbaik untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kekitaan dalam kalangan warga USM.

Beliau turut menyeru seluruh warga kampus agar terus memelihara budaya saling menghormati, bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi mewujudkan persekitaran kerja yang positif serta mempertingkatkan kecemerlangan organisasi.

Penganjuran Program Jalinan Ukhuwah Asyura ini mencerminkan komitmen USM dalam membudayakan nilai ihsan, perpaduan dan kesejahteraan sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional, malah mempunyai sahsiah dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Teks: Dr. Ahmad Nazrul Alif Yahya/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 165