PROGRAM KESEDARAN AWAL BANTU IBU BAPA KESAN KELEWATAN PERKEMBANGAN ANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2026 – Kepentingan pengesanan dan intervensi awal perkembangan kanak-kanak menjadi fokus utama Program Kesedaran Awal Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensi Awal Perkembangan Anak (0–6 Tahun) yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra pada 22 Ogos lalu.

Program anjuran Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM–MAIK) itu disertai 220 peserta terdiri daripada 200 ibu bapa asnaf dan 20 guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Para peserta diberi pendedahan mengenai perkembangan kanak-kanak meliputi aspek fizikal, kognitif, bahasa, sosial, emosi dan kemahiran kendiri, selain tanda-tanda awal kelewatan perkembangan serta saluran rujukan dan intervensi yang bersesuaian.


Program ini turut memperkenalkan e-Comel iaitu sistem saringan perkembangan kanak-kanak berasaskan web yang boleh digunakan secara percuma bagi membantu ibu bapa mendapatkan gambaran awal status perkembangan anak dan mengenal pasti keperluan penilaian lanjut.


Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kampus Kesihatan USM dalam membangunkan ekosistem perkhidmatan OKU yang holistik dan bersepadu melalui PTOKU USM–MAIK dengan sokongan MAIK.

Program ini diharap dapat meningkatkan kepekaan ibu bapa terhadap perkembangan anak dan mendorong tindakan awal sekiranya terdapat tanda-tanda kelewatan supaya kanak-kanak yang memerlukan menerima sokongan serta intervensi yang bersesuaian pada masa yang tepat.

Hadir merasmikan program ini ialah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. Turut hadir ialah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato' Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Hajah Rohani Ibrahim; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail; Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Haji Nik Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Haji Mohd Anis Hussein.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Husna Rahim
- Created on .
- Hits: 61