USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Mei 2023 – Dianggarkan 10 tan barangan kitar semula berasaskan fabrik seperti pakaian lama, langsir, cadar, kain perca, permaidani, beg, kasut dan alat permainan telah berjaya dikumpulkan menerusi Program Kitar Semula Pakaian anjuran Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 16 hingga 17 April lalu.

Kutipan dalam kalangan warga USM serta orang awam tersebut diserahkan kepada Syarikat Life Line Clothing Malaysia Sdn. Bhd., rakan kerjasama yang menjayakan projek ‘Up Cycle 4 Better’ (U4B) di mana bahan yang dikumpul akan diberi nafas baharu serta diselamatkan daripada dibuang di tapak pelupusan sampah.

Sebahagian pakaian dan barangan yang masih elok akan diasingkan bagi tujuan guna semula berkonsepkan baiki, kongsi dan guna semula dalam usaha membentuk sikap yang baik.



Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 151 orang dalam kalangan warga Kampus Kesihatan dan juga orang awam.
Usaha Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan melaksanakan program yang diketuai oleh Puan Wan Emilin W. Mat Ali ini dilihat menyokong usaha berterusan mengurangkan kenaikan suhu bumi dengan mengelakkan penjanaan gas karbon yang terhasil daripada tapak pelupusan sampah serta hasil pembakaran sampah. Pembakaran sampah juga akan menjejaskan kesihatan manusia dengan terhasil gas beracun dan toksik.