PROGRAM KKKK LATIH PELAJAR KEMAHIRAN PENGURUSAN KESIHATAN KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Jun 2025 – Seramai 126 pelajar perubatan tahun tiga (3), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membentangkan projek kesihatan komuniti mereka selepas menamatkan Residensi I dan II yang merupakan sebahagian daripada Program Kajian Komuniti dan Kes Keluarga (KKKK) di Dewan Kuliah 7, PPSP USM pada 28 Mei lalu.
Para pelajar telah dibahagikan kepada lima (5) kumpulan dan setiap kumpulan membentangkan ‘Community Profile’, ‘Community Diagnosis’ serta cadangan ‘Plans for Health Intervention’ berdasarkan kajian komuniti di mukim yang terpilih semasa mereka menjalani residensi pada 15 hingga 21 Mei lalu.
Sepanjang tempoh residensi, para pelajar turun ke lapangan untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, mengumpul data kesihatan serta mengenal pasti isu-isu utama yang dihadapi komuniti setempat. Hasil pembelajaran ini dizahirkan melalui pembentangan komprehensif dan cadangan intervensi kesihatan yang relevan, praktikal dan bersifat lestari.
Program KKKK bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu klinikal dalam konteks sebenar, malah turut memupuk nilai-nilai murni seperti keprihatinan, kesukarelawanan dan kepimpinan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen USM sebagai Universiti APEX yang berteraskan komuniti, memperjuangkan kelestarian, dan memperkukuh penglibatan holistik warga akademik dan pelajar.
Sumber Laporan & Foto: Sekretariat Program KKKK, PPSP USM
- Created on .
- Hits: 74