USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Ogos 2022 – Melalui Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), pasukan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Kerja Sosial terus menabur khidmat kepada masyarakat dengan mendekati golongan remaja melalui Program Kesedaran Kesihatan Remaja Negeri Kelantan 2022 yang berlangsung pada 21 Ogos lalu di Dewan Besar Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa.

Program dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (ReHAK), Jabatan Perubatan Masyarakat dan Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Perubatan (PPSP) USM itu turut melibatkan pelajar-pelajar perubatan tahun empat PPSP, sukarelawan daripada pelajar latihan industri Program Kerja Sosial USM dan sukarelawan daripada ‘Management and Science University’ (MSU).

Program yang mensasarkan 100 orang pelajar tingkatan enam (6) berumur 18 hingga 19 tahun di seluruh negeri Kelantan ini mengetengahkan pelbagai kupasan isu sosial remaja, kesihatan dan kesihatan mental remaja sebagai usaha membantu remaja di negeri Kelantan mendapatkan informasi yang bermanfaat.

Peserta program diiringi oleh guru pengiring yang terdiri daripada guru-guru kaunselor dan turut terlibat sama dalam semua aktiviti yang dijalankan. Selain itu, program ini juga turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.


Usaha ini juga dilihat sebagai pemangkin untuk semua pihak bersedia berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dan kesihatan remaja yang semakin kritikal dan kompleks serta perlu diberi perhatian.
Sumber Laporan : Unit Kerja Sosial Hospital USM