PROGRAM LALUAN KERJAYA OKU INTELEKTUAL: USM SOKONG KEBOLEHPASARAN OKU DEWASA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Mei 2026 – Orang Kurang Upaya (OKU) Intelektual merujuk kepada individu yang mengalami had ketara dari segi fungsi mental seperti tahap IQ (tahap intelek/kepandaian) di bawah purata dan kemahiran adaptif yang terhad. Ini menyebabkan mereka mengambil masa lebih lama untuk belajar, berfikir, menyelesaikan masalah dan menguruskan kehidupan seharian berbanding rakan sebaya yang lain.

Sebagai usaha membantu golongan ini, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Transformasi OKU USM – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM - MAIK) mengambil inisiatif mengadakan program Laluan Kerjaya OKU: Dari Intervensi Awal ke Kerjaya selama dua (2) hari bermula hari ini.

Program yang disertai seramai 45 wakil petugas dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) seluruh Kelantan itu bertujuan memindahkan ilmu, kemahiran serta pendekatan praktikal kepada peserta melalui pelaksanaan modul Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM).

Program yang berlangsung di Bilik Persidangan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan USM itu turut berfungsi sebagai kursus pemantapan kepada wakil PPDK yang pernah mengikuti ‘training of trainers’ (ToT) sebelum ini, bagi memastikan kesinambungan dan kualiti pelaksanaan modul ini di peringkat PPDK.

Melalui program ini, peserta turut didedahkan kepada konsep pembangunan laluan kerjaya OKU yang merangkumi pembentukan tabiat kerja, latihan berasaskan simulasi pekerjaan serta strategi penyediaan pelatih ke arah alam pekerjaan sebenar.

Secara tidak langsung, program ini turut memperkukuh pelaksanaan latihan vokasional (VT) di PPDK seluruh Kelantan dan meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan OKU dewasa.



Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan (Siswazah Kerjaya dan Antarabangsa) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim; Penyelaras Projek Latihan Pekerjaan OKU Intelek, Masliza Yazid dan Penolong Pengarah Bahagian Warga Emas dan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Anuar Che Mahmud.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 382