PROGRAM ORIENTASI SARJANA PERUBATAN, SURGERI DAN PATOLOGI TINGKAT KESIAPSIAGAAN PELAJAR PASCASISWAZAH USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Jun 2026 – Program Orientasi Sarjana Perubatan, Sarjana Surgeri dan Sarjana Patologi bagi kemasukan baharu sidang akademik Jun 2026/2027 telah dilaksanakan dengan jayanya sebagai inisiatif persediaan awal kepada pelajar pascasiswazah yang mengikuti latihan kepakaran dalam bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Program ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh berkaitan struktur pengajian, keperluan akademik, latihan klinikal dan makmal, penyelidikan serta aspek profesionalisme yang menjadi teras kepada latihan kepakaran perubatan. Ia dilihat sebagai platform penting dalam membantu pelajar memahami peranan dan tanggungjawab mereka sepanjang tempoh pengajian pascasiswazah.

Seramai 289 daripada 306 orang pelajar baharu telah menghadiri program orientasi ini yang merangkumi pelbagai sesi taklimat dan perkongsian ilmu oleh pihak pengurusan pusat pengajian, penyelaras program serta wakil jabatan di Kampus Kesihatan.Para pelajar turut diberikan penerangan berkaitan kurikulum pengajian, kaedah penilaian, syarat pengijazahan, penggunaan kemudahan universiti dan hospital pengajar, selain pendedahan terhadap sistem sokongan akademik dan pentadbiran yang tersedia.

Selain aspek akademik, program ini turut memberi penekanan terhadap nilai etika dan integriti akademik, keselamatan pesakit, kerahsiaan maklumat serta amalan profesional yang perlu dipatuhi oleh setiap pelajar sepanjang menjalani latihan kepakaran. Pendedahan awal terhadap aspek-aspek ini penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan kompetensi pelajar sebagai bakal pakar perubatan yang berwibawa dan beretika tinggi.

Di samping itu, program orientasi ini juga berperanan sebagai medium interaksi yang konstruktif antara pelajar, pensyarah, penyelia dan pihak pentadbiran. Hubungan profesional yang terjalin melalui program ini diharap dapat mewujudkan budaya kerjasama, sokongan serta komunikasi yang berkesan dalam kalangan warga akademik dan klinikal.

Pelaksanaan program ini juga diharap dapat membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran pascasiswazah serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran latihan kepakaran pada masa hadapan.


Hadir menyantuni para pelajar pascasiswazah ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas) PPSP USM, Profesor Madya Dr. W Mohd Nazaruddin W Hassan; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah dan ketua- ketua jabatan PPSP USM.Sumber Laporan & Foto: Muhammad Al-Aiman Mohd Noor
- Created on .
- Hits: 229